Sunday, 13 April 2008

KEBIASAAN ORANG BAWEAN BERI NAMA TIMANG-TIMANGAN

Ekstra! : 13 April 2008
CYBERITA
PERISTIWA BAHASA


Oleh
Mohd Ghani Ahmad

DI PASAR, sementara Geylang Serai, kita dapat melihat papan tanda sebuah gerai yang bernama Gerai Obek Didi.

Nama ini seakan- akan sama dengan nama gelaran pelakon lawak terkenal Singapura, Obek Didi; yang nama sebenarnya Mahadi Shor.

Apa yang hendak saya bicarakan dalam ruangan ini ialah kebiasaan orang Bawean di Singapura ini yang memberi nama timang-timangan atau panggilan mesra di kalangan mereka.

Misalnya, kalau seseorang itu bernama Mahadi, maka diberinya nama timang-timangan sebagai Didi atau Dikdi.

Obek ialah wak kepada suku Jawa; pak besar, pak ngah dan pak long kepada orang Melayu.

Banyak lagi nama timangan yang menarik hati, unik dan kadangkala melucukan untuk dibicarakan.

Dahulu, terdapat seorang naib qadi di kawasan Jalan Besar yang nama sebenarnya Allahyarham Ibrahim .

Beliau digelar Baeng oleh keluarganya sejak kecil. Maka lekatlah nama panggilan itu, Kiayi Haji Baeng. Beliaulah kadi pernikahan saya pada 1969.

Selain itu, terdapat seorang penyanyi terkenal sejak sebelum perang dunia kedua, yang nama sebenarnya Marfuah.

Beliau dipanggil Momo. Sejauh pengetahuan saya, beliau berasal dari Betawi atau Jakarta tetapi bercampur dan bersuamikan orang Bawean.

Abdul Rahman atau Osman pula menjadi Makmang atau Omang. Syukur atau Masykur atau Matkur menjadi Ocok atau Kokkor. Hamzah pula dipanggil Cakcak.

Abdullah pula menjadi Ullak atau Ellak.

Kalau seseorang itu bernama Ismail maka digelarnya pula Maeng atau Eeng Eng.

Seorang bernama Jaafar pula dipanggil Pakpang. Kalau Mustafa dipanggil Pakpok; Johari dipanggil Jekjek.

Kaum wanita juga tidak terkecuali diberi nama timang-timangan.

Misalnya, yang bernama Zaleha atau Fadilah dipanggil Laklah.

Juriah, Jariah atau Mariah menjadi Yekye. Sarinah atau Rosnah digelar Naknah. Khatijah atau Hadijah pula digelar Tiamjah, Ejah atau Dekdek.

Mawieh atau Marwiah pula menjadi Wekwek; Rokiah dan Rogayah dipanggil Kayye; Fatimah, Salmah dan Rahmah menjadi Makmah.

Sebenarnya, bukan saja orang Bawean sahaja yang kreatif memberikan gelaran kepada anggota masyarakatnya.

Orang Jawa, Minangkabau, Bugis, Kelantan dan suku Melayu lain juga tidak kurang kreatifnya menamakan panggilan mesra ini.

Bagaimana pula dengan nama saya?

Sebenarnya, sejak kanak-kanak saya dipanggil dengan nama timang-timangan Mokmok.

Kisahnya begini. Ketika ibu saya mendaftarkan nama saya di sekolah, ibu saya memberitahu guru yang bertugas mendaftar murid baharu, bahawa nama saya Mughni atau Mogenni.

Cikgu Ibrahim, guru yang menerima pendaftaran itu, bertanyakan lagi, apakah nama panggilannya di rumah. Mungkin nama Mughni atau Mogenni itu susah disebut.

Memang benar nama itu, nama yang tidak biasa atau umum kepada orang Melayu. Lebih-lebih lagi, pada zaman itu, pendaftaran masuk ke sekolah tidak memerlukan dokumen rasmi.

Mungkin kerana ibu saya terkejut atau seram akan perawakan guru yang memang terkenal agak garang itu, beliau menjawab:

'Saya memanggilnya Mokmok aje, Cikgu!'

Mulai saat itulah Mokmok ini terdaftar dan menjadi nama rasmi saya di sekolah.

Nama Mokmok tidak menjadi bahan usikan kawan-kawan yang sebaya dan yang telah mengenali saya.

Namun kepada orang yang baru mengenali saya, mereka akan menjadikan bahan gurauan, 'Eh, momok datang, cabut!'

Begitulah kira-kira.

No comments:

Post a Comment