Thursday, 22 May 2008

TUJUH CICITKU

Media Bawean, 23 Mei 2008
Sumber : Cyberita Online
Ekstra! : 23 Mei 2008
KELUARGA

Setiap hari sejam setengah moyang amalkan senam taiji untuk sihatkan badan

JIKA sebahagian daripada kita jarang berkesempatan melihat wajah cicit, lain pula halnya dengan Hajah Beer Mang yang kini merupakan moyang bagi tujuh orang cicit.

Kehidupannya yang aktif dipercayai menjadi kunci mengapa beliau dapat menjauhi penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Seawal 6.30 pagi setiap hari, Hajah Beer, 82 tahun, akan 'hilang' daripada rumahnya untuk bersama teman-teman warga emas yang merupakan bangsa asing.

Selama sejam setengah itu ibu tujuh orang anak dan nenek 20 orang cucu itu akan bermandi peluh bersenam taiji untuk menyegarkan badannya.

'Kalau boleh, hari-hari saya nak turun bersenam. Tapi kadang-kadang saya kena jaga cucu di rumah sebab mak bapak dia orang kerja.

'Tapi saya ini kalau sehari tak bersenam, saya rasa badan jadi tak sedap,' akui Hajah Beer semasa ditemui di rumah salah seorang anaknya di Hougang Avenue 8.

Anak sulung beliau, Haji Diman Ahadi, 62 tahun, seorang pesara, mengakui begitu kagum dengan kemampuan ibunya yang disifatkan berdikari meskipun dalam usianya yang lanjut.

'Dulu mak saya ini memang selalu turun naik bas sendiri. Dari Hougang beliau ke Bukit Batok (tempat Haji Diman tinggal) malah ke mana-mana sahaja.

'Cuma sejak kebelakangan ini adik-adik saya tak izinkan beliau terlalu ligat bergerak lagi kerana bimbang kalau-kalau beliau terjatuh,' ujar Haji Diman.

Hajah Beer yang berbangsa Bawean lahir di Singapura dan diberi nama Marbieah Osman. Namun, semasa mendaftar kelahiran, nama yang kini dicatat di kad pengenalannya ialah Beer Binti Mang.

'Kita ini manalah sekolah. Kalau abang-abang itu sebagai anak lelaki dapat juga ke sekolah. Dapat juga tengok ejaannya betul ke tidak.

'Sedih juga rasanya sebab kalau tidak, boleh juga saya baca surat khabar,' tambah moyang dengan tujuh orang cicit yang berusia antara sembilan tahun dengan empat bulan itu.

Hajah Beer banyak menghabiskan masa membesar di Pasir Panjang memandangkan Allahyarham ayahnya bertugas sebagai tukang kebun di Haw Par Villa dan mereka menetap di kuartes di situ.

Dalam 1945, beliau berumah tangga dengan seorang lagi kakitangan yang bertugas di Haw Par Villa dan dikurniakan tujuh orang anak iaitu empat lelaki dan tiga perempuan.

Usianya yang panjang membolehkan beliau berkesempatan melihat wajah cicit ketujuhnya yang lahir kira-kira empat bulan lalu iaitu cucu anak keduanya.

Jadi apakah rahsia di sebalik laluan kehidupannya?

'Saya ini makan pun tak pantang. Apa pun saya makan. Cuma kalau makan itu tak banyaklah. Kalau tak ada lauk, dengan kicap potong bawang pun saya boleh makan.

'Kaki saya ini sakit dan sengal-sengal juga. Tapi kita tak boleh ikutkanlah. Kita mesti nak jalan, mesti kena kuatkan semangat,' tambah anak kedua tiga beradik itu.

Ketika ditanya apakah perasaannya dapat menggendong cicit ketujuh, Hajah Beer yang masih mampu ligat berjalan meskipun pendengarannya agak kurang awas, menambah:

'Suka dan gembiralah sebab cicit kita dah tujuh semuanya!'

Menyingkap percutian beliau bersama ibunya sebelum ini, Haji Diman yang menghidap penyakit kencing manis dan kini bergerak dengan menggunakan kaki kiri palsu pula berkata:

'Semasa kita ke Langkawi dan melawat Telaga Tujuh, saya belum sampai di atas, beliau sudah sampai atas dahulu. Orang semua tertanya-tanya, 'Mana mak kau?'

'Rupa-rupanya, jalannya laju sebab itu cepat sampai atas.'

Mendengarkan kata-kata anaknya, Hajah Beer pula mencelah:

'Langkawi rendah. Kalau telaga di Bawean itu lebih tinggi!'

No comments:

Post a Comment