
Ponthuk Bawean yang berada di Gunung Rapat Ipoh ini tidak menggambarkan sebagai kepunyaan sebuah masyarakat ; tetapi lebih kepada kepunyaan individu tertentu sahaja.Cuma mengadakan majlis Tadarus al-Quran kanak-kanak di setiap Ramadhan,(kenapa tidak join sama surau disebelah?) Kemudian sepi muram hingga Ramadhan seterusnya.Penghuninya pula tidak pernah berjemaah disurau sebelah.Saya tahu sebab hampir selama 4 tahun saya pernah menjadi Imam disurau tersebut.
Telah saya ceritakan tentang dua penempatan orang Bawean di Ipoh pada awal sekitar tahun 50-an iaitu Ponthuk Paloh dan Ponthuk Batu Tiga.Lihat sini.Namun ada satu lagi penempatan yang ramai di huni oleh orang bawean tetapi dari kalangan ‘Oreng Laok’.
Oreng Laok ini menempati kuaters pekerja di Race Couse Jalan Tambun Ipoh.Tempatnya berhadapan dengan bangunan Ipoh Specialist Center, sebuat pusat perubatan persendirian. Dulu saya keliru dengan istilah ‘Oreng Laok’ ini.Saya sangkakan ia bermakna ‘Orang Laut’ yakni mereka berasal dari kawasan pantai berhampiran dengan laut di Pulau Bawean. Seorang kawan berasal dari Pulau Bawean , bernama Buang ketawakan saya lalu dia menceritakan hal sebenarnya. Barulah saya tahu Laok itu Selatan , Deje itu Utara , Berak itu barat (silap sebut maknanya sudah lain pula) dan Temor bagi Timur...OOoooh aku mulai faham sekarang!
Terlanjur saya menyebut nama kawan saya itu : ‘Buang’ terlintas di fikiran saya hanyasanya , orang Bawean yang memakai nama begitu. Di Ipoh ini ada tiga orang Bawean yang bernama ‘Buang’. Seorang Buang ada di Manjoi , seorang lagi ada di Sungai Rokam , bertugas sebagai guru , manakala seorang lagi sudah berada di alam kubur! Semoga Allah rahmati rohnya Pak Buang.
Tentu sekali ingat kepada Allahyarhamah penyanyi 60-an Rafeah Buang? Ya, memang beliau asal berketurunan Bawean.Nama bapanya - Buang!
Betapa kalau ada yang bertanya, kamu anak siapa? lalu di jawab -Anak Buang!- tentu sekali boleh membawa erti anak yang tidak dikehendaki.
Kita ketepikan persoalan ‘Buang’ ini dahulu. Saya mahu menceritakan tentang orang Deje yang menghuni di kedua ponthuk tersebut. Pekerjaan popular para bapa diwaktu itu ialah menjadi supir atau drebar kepada towke berbangsa Cina. Para bapa ini amat dedikasi terhadap pekerjaan ini maka sangat disukai oleh majikan masing-masing. Mereka sangat rajin menjaga kebersihan kereta yang diumpamakan seperti kereta mereka sendiri.Pastinya kereta majikan sentiasa 'moncar'. Waktu itu tidak ada tempat servis untuk cuci kereta.
Syarat utama jika mahu mendapat perkhidmatan supir Bawean ialah, majikan mengizinkan mereka membawa pulang kereta waktu makan tengah hari.Maka setiap pagi dan petang mereka ini berbasikal pergi dan pulang ketempat kerja masing-masing, tetapi waktu makan tengahari , menjalar kereta-kereta Mercedez dan Jaguar dilaman ponthuk.
Walaupun pekerjaan menjadi supir kepada towke-towke kaya di Ipoh di monopoli oleh bangsa Bawean,namun tiada siapa dikalangan mereka yang berminat untuk mejdai pemandu bas atau lori. Itulah seperti yang saya katakan , syaratnya mereka diizinkan membawa pulang kenderaan itu ke rumah waktu makan tengah hari.
Tapi bagaimana orang Cina yang sama datangnya seperti mana orang Bawean boleh jadi kaya raya berbanding dengan orang Bawean yang hanya mampu menyewa sebuah rumah untuk didiami beramai-ramai?
Orang Bawean bekerja jadi supir sejak di zaman kereta kuda lagi. Orang tua saya bercerita tentang seorang Pak Wa yang menjadi supir kereta kuda seorang Tuan Eropah. Pak Wa tersebut mendapat gaji yang agak lumayan sehinggakan dia mempunya kereta kuda sendiri.Bukan setakad itu sahaja, malah dia mampu menggaji seorang lain untuk menjadi supirnya! Esonlah oreng!
Diceritakan juga betapa kurang cerdiknya bapa-bapa kita waktu tuan-tuan orang putih itu mahu meninggalkan Malaya menjelang hari kemerdekaan di tahun 1957
"Amat,saya mahu pulang negeri nanti, apa kamu mahu , kasi tahu tanah mana kamu mahu?" Tuan-tuan orang putih bertanyakan kepada bapa-bapa dizaman itu kalau-kalau mahukan tempat untuk kediaman.
Namun masing-masing menolak secara hormat dan baik sambil berkata,"Kalau tuan balik negeri, saya pun mahu balik negeri juga!"
Mereka sebenarnya lebih suka mendapat pemberian dalam bentuk wang ringgit berbanding dengan hartanah.Pada mereka buat apa tanah banyak-banyak kerana masing-masing punyai tanah di Pulau Bawean dan sudah tidak berdaya untuk mereka kerjakan. Kalaulah mereka sedari dan mengetahui tentang nilai hartanah sebagaimana warga sekarang, pastinya mereka tidak lepaskan peluang tersebut dan sudah menjadi kaya raya.
Ya, itu persepsi mereka ditahun 50-an.Persepsi begitu masih juga terdapat lewat tahun 60-an waktu mula penempatan Kampung Manjoi dibuka. Arwah bapa saya sendiri punyai sebidang tanah dimanjoi, entah macamna abang sulung saya telah menjualkannya dengan seorang Bawean dari Singapura dengan harga RM100.00 sahaja! Sangat murah bukan? Tetapi ada lagi yang lebih murah dari itu kerana ada juga yang sekadar menjual tanah di situ dengan hanya RM40.00 sahaja!
Orang putih dah lama balik kenegeri mereka , tetapi orang Bawean ,ramai yang masih terus berada di Ipoh ini.Kini, disinilah bumi yang kami pijak dan disinilah langit yang kami junjung.
Dari pengamatan saya waktu anak-anak dulu, saya dapati para bapa ketika itu berasa selesa dengan kehidupan baru mereka di Malaya berbanding dengan negeri asal mereka di Pulau Bawean. Samalah sepertimana mereka yang kini baru sampai ke Malaysia. Tetapi orang Bawean yang baru sampai zaman kini adalah lebih cerdik sakubik berbanding bapa-bapa kami dahulu. Mereka mampu menabung dan menghantar pulang wang dengan jumlah ratusan ribu rupiah setiap bulan dan mampu membina rumah dan penempatan seperti mana terdapat di Gombak dan di Balakong (satu ketika ada juga di Jalan Jelatik)

Bangunan disebelah merupakan sebuah Dewan tetapi jarang-jarang dimunafaatkan. Sebelum PRU-12 yang lalu, ada pemimpin PBM dari KL datang melobi konon mahu mendapatkan 'Senator' dengan menaja makan-makan di Hotel Casurina di Ipoh.Tempatnya air-cond. Lantaran tidak biasa sejuk begitu, ramai yang 'KOMIKIL' dan duduk di luar hotel tersebut (saya tulis komikil agar orang lain tidak tahu dan memalukan bangsaku saja!) dan tau-taunya pihak penaja membuat rumusan mereka semua menyokong Umno lalu menggantung banting 'SUKU KAUM' menyebabkan bantahan ramai dari kalangan orang-orang Bawean yang menyokong PAS seperti saya sendiri.Soalnya di sini, kenapa tidak mahu gunakan dewan tersebut?
Kalau orang Bawean yang baru datang ke Malaysia ini mampu mempunyai rumah sendiri setelah tiga empat tahun bekerja , tentunya sangat musykil dipemikiran yang waras, bagaimana orang Bawean kelahiran Malaysia tidak mampu untuk berdikari dengan mengadakan rumah untuk keluarga sendiri? Tapi itulah yang kedapatan di Ipoh ini. Ada yang masih mahu mengambil kesempatan tinggal di ponthuk. Kalau tinggal disitu dengan bertanggung jawab tak apalah juga.
Sepatutnya bangunan tersebut boleh dimunafaatkan dengan perkara kebajikan yang lain. Ia boleh dijadikan tempat tusyen bagi anak-anak masyarakat Bawean menimba ilmu. Sayang sekali mereka tidak tahu mengendalikannya sebagaimana yang sepatutnya. Sistem ponthuk untuk menempatkan warga Bawean yang baru tiba untuk mencari penghidupan baru disini sudah lama berlalu dan sudah tidak relevan lagi kerana kebanyakan mereka sudah disediakan tempat tinggal oleh majikan dan rumah sewa pun banyak tidak seperti mana dahulu. Mereka lebih suka tinggal ditempat-tempat yang hampir dengan tempat pekerjaan mereka.
Antara kebajikan yang masih boleh disalurkan melalui sistem ponthuk ini ialah mentransformasikan penggunaanya menjadi lebih menyeluruh dan terbuka sebagai Pusat Perkhidmatan Masyarakat Bawean. Bagaus juga kalau di tubuhkan satu syarikat Koperasi Bawean bagi tujuan menaikan taraf kehidupan masyarakat Bawean.
Saya harap ada yang sanggup membawa perkara tersebut sebagai usul dalam mesyuarat PBM nanti. Diharap PBM tidak dijadikan sebagai platform bagi kepentingan politik peribadi mana-mana pihak; mesti telus dan non-partisan.

Inilah bangunan sebuah surau yang hanya bersebelahan dengan Ponthuk Bawean tersebut, namun tidak pernah penghuni phonthuk tersebut melibatkan diri dengan sebarang majlis yang diadakan disurau ini.
Saya hormat kepada orang Bawean yang baru merantau ke Malaysia.Saya harap jangan lupakan diri bila sudah berada disini. Saya banyak mendengar cerita-cerita yang kurang enak tentang ‘kejutan budaya’ yang terpaksa mereka harungi.
Saya masih ingat seorang tua yang masih hidup lagi , mungkin dia merupakan orang Bawean yang tertua di Ipoh ini ; dimana dia mengalami kujutan budaya yang amat melucukan. Saya tetap mahu ketawa bila mengingatinya.Ceritanya umpama ‘tungeng’ tapi memang benar-benar berlaku.

Tiang dan wayar letrik begini menarik perhatian dan telah disalah sangka sebagai payangsangan oleh pendatang baru dari Pulau Bawean 50 tahun dulu
Pada awal mula kedatangannya , maka ..(dah tergelaklah ni…) dia amat hairan memerhatikan adanya wayar listrik bergantungan di tiang-tiang yang ada ditepi jalan. Bapa-bapa yang lain tidak perasan apa-apa.Cuma pakat-pakat sama memerhati apa yang sangat menakjubkannya itu.Lalu ditanyakan orang, “Arapa pheno?”- What's the matter with you?
Masih lagi dengan kehairannanya dia pun berkata , “Endek-endek –endek…..” dia menggeleng-gelengkan kepalanya , “ beremmana nyemora kain?….tingki-tingki na pa-nyangsangan-na oreng dinnak! ( orang Bawean kalau mengeloh biasanya gunakan perkataan ‘endek-endek-endek ‘ yakni : tidak, tidak tidak atau in Englishnya : Oh NO! NO! NO!)
Maksudnya tadi, dia kehairanan lalu bertanya “Bagaimana hendak menjemur kain?.... tinggi sangat penyidai orang-orang sini!”
Pak Wa tu menyangka tiang-tiang listerik dengan wayar-wayar itu adalah tempat orang menjemur kain! Habis pakat ketawa satu ponthuk ketika itu.Lucu betul.
Kemudian, dihidangkanlah orang minuman sejuk dengan ketulan air batu (ais).Pun dia sangat kehairanan melihatkan orang memegang ketulan ais lalu diketuk untuk dipecah kecil (waktu itu mana ada ice-cube!) Dia bertanya : Tak panaskah yang kamu pegang itu?
Orang ramai masing-masing saling berpandangan.Hang pandang aku, aku pandang hang dan tertanya-tanya apa maksud pertanyaannya. Lau kemudian dia berkata lagi :
“Tu , benda yang berasap tu tak panaskah?” Habis lintang pukang semua orang pakat ketawa terbahak-bahak!
“Endek-endek-endek phenno….” kami semua geleng kepala.
Nasib baiklah zaman itu tidak ada mesin minuman sepertimana sekarang, kalau tidak tentu mati-matian dia kata mesti ada tukang bancuh air dalam mesin tersebut.
Cukuplah kali ini, dikesempatan lain saya akan sambung lagi.
No comments:
Post a Comment