Sumber : http://www.mstar.com.my/
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
GENTAYANGAN akan membawa penontonnya ke dalam kancah pertembungan ilmu putih dan hitam antara Tuk Burhan dan Alang Jali.
Di satu sisi yang lain, tentang hitam putih perjalanan kehidupan Risham yang mencari kebenaran tentang dirinya dan sekaligus jawapan mengapa ibunya di penjara hingga ajal menjemputnya ketika dia lahirkan di situ.
Itulah sedikit gambaran filem pertama terbitan Secondlife Picture Sdn. Bhd. berjudul Gentayangan..."Datangku dijemput" yang bakal diarahkan oleh pengarah terkenal Zulkiflie M. Osman bermula hujung bulan ini.
Filem yang dijangka mengambil masa pengambaran selama 40 hari di Melaka itu menampilkan pelakon-pelakon hebat dan tersohor tanah air seperti Rusdi Ramli, Yasmin Hani, Abu Bakar Omar, Hasnul Rahmat, Nasir Bilal Khan, Lana Nordin dan ramai lagi.
Menurut penulis skripnya iaitu Shariman Wahap, idea untuk menghasilkan filem itu diilhamkan oleh sahabatnya iaitu Achio dan datuk saudara kepada saudaranya iaitu penulis buku terkenal Tamar Jalis.
"Nama Gentayangan yang memberi maksud "tak jejak bumi dan tak tergantung di langit" dipilih secara tak sengaja kerana ia berkait dengan ilmu hitam.
"Melalui idea yang diperolehi, saya olahkan ia dalam skrip sehingga menjadi 36 babak.
"Saya turut mengambil rujukan melalui terjemahan ayat Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah ayat 286 yang dibacakan oleh Munir Hijjaz sebentar tadi.
"Saya juga memasukkan gabungan amalan Tok Janggut, Mat Kilau dan Sheikh Usman Jailani," cerita Shariman ketika berucap di majlis pelancaran dan sidang media filem Gentayangan semalam di Hotel Legend, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, penyanyi dari kumpulan nasyid Hijjaz iaitu Munir membacakan ayat Al-Quran bagi memberkati majlis dan seterusnya diikuti dengan bacaan doa oleh Shariman sendiri.
Mendengar sedikit susun galur cerita yang diceritakan oleh Shariman, beliau berkata filem ini mengisahkan seorang anak muda iaitu Risham lakonan Rusdi Ramli yang dilahirkan di penjara.
"Setelah ibunya meninggal, beliau langsung tidak mengetahui siapakah ayahnya. Filem ini turut meletakkan watak Tuk Burhan lakonan Abu Bakar Omar yang mempunyai ilmu agama dan perubatan.
“Apabila Risham memasuki sebuah institusi pengajian tinggi di Utara, dari situ beliau mula berkenalan dengan rakan-rakannya iaitu Kaher, Rahila dan Sabrina.
“Kepulangan Risham dan rakan-rakannya ke kampung telah mengundang bermacam dugaan.
“Konsep filem ini akan digarap ala-ala filem Sixth Sense dan penonton akan terpedaya dengan jalan cerita yang disampaikan pada mulanya sehinggalah segalanya terbongkar.
“Saya sudah berbincang dengan pengarah tentang bagaimana hendak menyampaikan cerita seperti yang dimaksudkan dan beliau faham dan setuju dengan apa yang difikirkan.
“Dalam filem ini juga akan ada bacaan mentera sebenar dalam bahasa Boyan atau Bawean tetapi disampaikan dalam bahasa Melayu.
“Insya Allah, mentera ini adalah tidak bertentangan dengan syarak setelah mendapat pengesahan dalil dan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim),” cerita Shariman.
Filem ini bergenre seram. Apabila filem seram, pasti semua penonton menantikan sebarang makhluk seperti hantu, pontianak, ‘monster’, jembalang atau apa-apa sahaja yang menakutkan.
Namun, kata Shariman, imej dan watak hantu tidaklah terlalu terang-terangan dipaparkan dalam Gentayangan.
“Filem ini lebih menunjukkan ilmu kebatinan,” beritahu Shariman.
Apabila ditanya sebab beliau membuat filem seperti ini dan adakah motif di akhir penceritaannya penonton akan dapat mengetahui tentang cara melawan atau mengatasi ilmu hitam?
Kata Shariman, "70 peratus jalan cerita dalam Gentayangan ini adalah berdasarkan kisah benar. Jadi, ia dibuat untuk memberi pedoman kepada masyarakat di luar sana tetapi ceritanya tidaklah disampaikan terlalu panjang.
"Tentang pengajaran ayat untuk menghindarkan ilmu hitam tersebut, cukup senang dan mudah untuk diingati iaitu "Allahu rabbi qasran khaira" di mana kita akan letakkan maksudnya dalam bahasa Melayu pada senikata di bawahnya.
"Mentera yang dibacakan juga merupakan sedikit sebanyak bantuan untuk melawan ilmu hitam," ulas Shariman lagi.
'Gentayangan mungkin kalahkan filem seram lain'
Dalam pada itu, Pengerusi Secondlife Pictures Sdn. Bhd yang juga produser filem Gentayangan iaitu Datuk Dr. Zubir Yahya turut berucap dalam majlis tersebut.
Antara ucapan yang menarik olehnya adalah beliau menjangkakan filem Gentayangan boleh mengalahkan filem seram tempatan yang lain dengan sasaran kutipan RM10 juta.
Jika sebelum ini, produser filem Congkak iaitu David Teoh juga pernah berkata demikian iaitu beliau mensasarkan filem Congkak meraih jumlah RM10 juta selepas filem Jangan Pandang Belakang berjaya mengutip RM7.5 juta.
Memang cita-cita yang hebat bagi Secondlife Pictures kerana walaupun filem yang pertama, mereka sudah meletakkan sasaran yang tinggi untuk berjaya.
Namun, tidak mustahil untuk Gentayangan berjaya meraih ramai penonton ke pawagam kerana Zubir sendiri sudah memasang strategi pemasarannya.
"Berdasarkan kajian dan analisis yang saya buat terhadap filem yang ditayangkan di Malaysia, saya tengok filem Melayu gagal dan tidak 'terurus'.
"Jadi, sebelum itu saya akan bentuk seribu 'master distributor' yang akan memperkatakan tentang Gentayangan termasuk di luar negara dan seterusnya untuk membanteras cetak rompak.
"Selain itu, kita akan tubuhkan program sahabat Secondlife untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai perkembangan pengambaran filem ini dan kita sasarkan seramai 100 orang untuk menyertainya.
"Kita juga akan memberi peluang kepada rakan media untuk memberi kritikan dahulu sebelum filem ini ditayangkan seperti yang dicadangkan oleh penerbit eksekutif Rashdan Baba," jelas Zubir.
Shariman turut menambah bahawa mereka akan memberi skrip kepada pihak media untuk menilai atau memberi pandangan berkait pembangunan filem tersebut agar tiada cacat cela atau kritikan negatif yang dilemparkan kemudian hari.
Kos keseluruhan penerbitan filem ini dianggarkan mencecah RM2.5 juta termasuk dengan kos penggunaan CGI yang menelan belanja RM750 ribu.
Rusdi terima Gentayangan kerana Zulkiflie
Sementara itu, pelakon utama filem ini iaitu Rusdi Ramli berkata beliau menerima tawaran untuk berlakon filem tersebut kerana pengarahnya iaitu Zulkiflie M. Osman.
Rusdi memegang watak Risyam dalam Gentayangan..."Datangku dijemput"
(Foto mStar oleh Siti Azira)
"Saya juga terima untuk berlakon Gentayangan apabila melihat barisan pelakon yang ada dan jalan ceritanya sangat kuat.
"Ia berlainan sedikit dari cerita seram yang lain di mana ia ada bacaan mentera dan ayat Al-Quran.
"Apabila mendengar cerita ini, saya rasa jalan ceritanya seolah-olah mempunyai persamaan dengan cerita seram Indonesia yang dahulu," ulas Rusdi.
Sebelum ini, Rusdi sudah terkenal melalui lakonannya dalam filem seram lain seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan Waris Jari Hantu.
"Namun, watak saya dalam filem ini agak berlainan berbanding watak yang saya pegang sebelum ini.
"Saya akan bergabung tenaga dengan Tuk Burhan (Abu Bakar Omar) untuk menghalau hantu.
"Mendapat tawaran untuk berlakon filem seram lagi adalah secara kebetulan dan tiada maksud lain.
"Lagipun saya belum menerima tawaran berlakon filem lagi untuk tahun ini. Jadi, sebab itu saya terima.
"Saya boleh katakan cerita ini berbeza dengan filem lain. Gentayangan barulah betul-betul dikira sebagai cerita hantu.
"Namun, saya bukanlah seorang peminat filem seram. Saya terima pun kerana Zulkiflie M. Osman kerana beliau merupakan pengarah yang kreatif.
"Saya rasa logik untuk terima filem ini," akhiri Rusdi yang masih belum sempat membaca skrip Gentayangan sekarang kerana sibuk dengan pengambaran drama bersiri Inai Malam Pengantin untuk Astro.
No comments:
Post a Comment